Pengenalan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) telah ditubuhkan pada 15 November 2001 hasil daripada usaha penstrukturan semula tiga buah fakulti iaitu Fakulti Pengajian Bahasa, Fakulti Sains Pembangunan dan Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Penubuhan FSSK yang terdiri daripada enam buah pusat pengajian bertujuan untuk memperkemas, memperteguh dan mengoptimumkan bilangan serta liputan kursus-kursus asas yang berteraskan disiplin utama dengan cara menghapuskan pertindihan kursus serta menggalakkan pengajian yang bersifat multi disiplin.
Penstrukturan juga bertujuan untuk menggabungkan para ilmuan dari tiga buah fakulti yang dulunya berasingan di bawah satu bumbung yang sama. Penggembelingan ini akan memantapkan lagi aspek pengajaran, penyeliaan, penyelidikan dan perundingan, dan akhirnya akan melahirkan program-program pengajian prasiswazah dan siswazah yang berkualiti, dan menepati permintaan pasaran semasa. Wawasan, misi dan matlamat FSSK adalah seperti berikut:
Wawasan Memangkin dan mencetus pemikiran terkini dalam pembentukan peradaban bangsa.
Misi Membentuk suasana penjanaan ilmu terkamir untuk pembangunan insan yang bergerak seiring dengan arus pemodenan dalam acuan kebangsaan.
MatlamatMelahirkan siswazah yang luwes dan mempunyai ciri-ciri profesional yang relevan dan bersifat kebolehpasaran dan pembelajaran seumur hidup; Menjana, menyebar dan mengkhazanahkan ilmu di peringkat global yang beracuan keMalaysiaan; Memajukan siswazah yang mengimbangi ilmu asas dan gunaan; Menyumbangkan kepakaran dalam pelaksanaan pembentukan dasar dan program yang bertaraf kebangsaan, serantau dan antarabangsa.
|